Friday, October 28, 2005

Syawal Datang Lagi

Abject apologies for my English only readers..since I have to brush up on my Bahasa Melayu:

Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin, Salam Kasih Mesra

Syawal Datang lagi


Menjelang waktu solat Maghrib, surau di KLCC dibanjiri umat Islam sehingga perlu beratur untuk sembahyang. Berbagai rupa pengunjung surau, berbagai umur dari yang remaja belia sehingga datuk dan nenek tua. Fenomena bersembahyang bila masuk waktu hanya berlaku sedemikian rupa di kalangan umat Islam.


Lebih ramai umat Islam boleh dikategorikan sebagai mematuhi kehendak agama mereka dari umat agama lain sedangkan tiada ugama yang lebih sukar dipatuhi.
Antara yang paling susah adalah menahan diri dari perkara yang halal dan ini lah yang kita lakukan bila kita berpuasa, menahan diri dari perkara yang bukan saja halal tetapi perlu !

Maka sambutan Aidil Fitri sudah tentu disambut dengan gembira sekali oleh umat Islam terutama yang telah patuh menjalankan perintah Allah swt dan telah berjaya melakukan ibadah puasa lengkap dengan sunnah sunnah nya yang membawa dirinya kepada pembersihan rohani dan jasmani.Kita lihat pula umat Islam menyambut Hari Raya dengan meriah sekali dan ini tidaklah salah sebab sudah tentu kejayaan perlu di sambut.Tetapi kadang- kadang saya terfikir seolah kita ingin menghapuskan segala manfaat puasa yang telah di perolehi!

Umat Islam satu umat yang paling taat kepada perintah Illahi dan umat Islam pada umumnya adalah juga yang paling yakin dengan janji-janji Allah sebagaimana kita faham melalui Al Quran dan Sunnah!

Di antara umat Islam sedunia, umat Islam di Malaysia mungkin yang paling beruntung , dengan negara yang aman makmur lagi mewah !Dengan kesenangan beginilah mungkin timbul kelalaian dalam diri kita masing-masing , mungkin sebab terlalu suka dengan keselesaan dan kemeriahan sambutan kita.

Maka saya mengambil kesempatan untuk menulis secebis peringatan kita supaya kebaikkan kita sebagai umat Islam akan bertambah teserlah dengan kejayaan dan kecemerlangan.


Menghimbas semula manfaat puasa:

1. Makanan yang sederhana boleh menimbulkan pencernaan yang lebih baik. Pernahkah anda rasa tenaga yang datang setelah berbuka puasa? Tenaga sebegini hanya untuk yang mengamalkan puasa , tidak dapat di rasa olih orang yang tidak berpuasa.

2. Makanan yang sederhana semasa berbuka puasa menolong mengimbangi semula berat badan yang mungkin sudah meningkat lebih dari sepatutnya .

3. Bertambah baik disiplin diri yang timbul dengan amalan puasa dan solat-solat sunat serta qiyam dan baca quran .

4, Bertambah baik hubungan kita dengan Allah swt berkat doa dan munajat kita sepanjang bulan

5. Hati bertambah lembut dan lunak kerana bersedekah dan mengenangkan nasib orang yang susah.

6. Pemikiran bertambah terang dan tajam sebab kurang makan ( Perut mendapat kerehatan , darah akan lebih di hantar keanggota badan yang lain termasuk otak)

7. Puasa yang berjaya juga berjaya membuang toksin dari badan dan badan akan rasa lebih sihat dan bertenaga menjelang syawal.

Setelah syawal tiba, kita akan menyambutnya dengan solat sunat Aidil Fitri selepas mandi sunat Aidil Fitir awal pagi, kita bermaaf maafan dengan semua ahli keluarga dan menjamu selera dengan juadah enak yang telah di sediakan khas untuk hari yang mulia dan gembira ini.

Peringatan yang ingin saya kemukakan dalam kesenangan dan kemeriahan berhari raya.

Imbas semula segala kebaikan dan manfaat puasa, tidakkah kita merasakan rugi kalau kesemuanya hapus begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan pada jiwa kita?
Perkara ini akan berlaku jika kita terus balik kepada tabiat kita yang asal dengan cara makan yang tidak terkawal serta disiplin diri yang kurang .

Malahan bila kita turut serta berkunjung kerumah sanak saudara dan terus makan dan makan lagi, besar kemungkinan kita akan dapat sakit perut dan lain-lain sakit.

Sudah lama saya sendiri tidak makan di setiap rumah yang saya kunjung malahan kadang kala meminta air tanpa manisan. Bukan sebab berpantang apa-apa tetapi untuk menjaga supaya tidaklah meminum terlalu banyak air manis dengan perisa tiruannya dan pewarna tiruannya.

Rendang juga satu masakan istimewa untuk hari Raya tetapi hati-hati jangan pula perut yang sudah direhatkan selama sebulan dikejutkan dengan makanan terlalu banyak dan terlalu pedas.

Jangan lupa juga solat-solat yang telah dijaga baik dalam bulan Ramadhan, dengan kesibukkan menyambut Raya, jangan pula ada solat yang tercicir.

Apa kata kita juga mengingati orang yang susah pada Hari Raya dengan membuat sumbangan dari duit duit Raya yang diperolehi. Sungguh ramai umat Islam sedang menderita dengan perang, dengan lapar dan dahaga pada hari kita bergembira menyambut Hari Raya. Bagi ibu dan ayah yang sering memberi duit raya kepada anak saudara dan sahabat, apa kata kalau diketepikan sebahagian untuk didermakan?


Apa kata tabiat baik membaca Quran dan bermunajat yang ktia telah amalkan pada bulan Ramadhan kita teruskan pada bulan Syawal dan kekalkan sepanjang tahun, walaupun kadar masa yang diperuntukkan perlu dikurangkan demi urusan dunia yang menuntut perhatian kita?

Umat Islam umat yang paling taat kepada perintah Allah , umat Islam umat yang paling berdisiplin dan yang paling bersih dengan amalan mandi dan wudu nya. Apa kata kita gunakan disiplin ini untuk mempastikan kebersihan diri , rumah dan alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata, dengan tidak membazir.?

Apa kata kalau kita jadikan bersederhana sebagai amalan harian, kita pelihara kelembutan dan kelunakkan hati kita dan kita capai kejayaan dan kegemilangan dan mengambil tempat kita sebagai qudwatun hasanah , contoh yang baik bagi umat Manusia.?


6 comments:

Anonymous said...

MashaAllah a beautiful piece with pearls of wisdom aplenty. :)

May Allah reward you for every person who takes your advice close to heart, amiin..

Leyla Shuri said...

Salam perkenalan dan selamat hari raya, nurul.

Anonymous said...

these are really practical, well-rounded wonderful pieces of advice.

thank you...

dith said...

Terima kasih. Saya amat tersentuh dgn setiap nasihat yang bernas ditambah dgn bahasa yg cukup teratur.

Insyallah setiap kali saya lalai saya berdoa Alah swt mengingati saya semula tentang nasihat2 yang telah dikemukakan di atas.

Terima kasih wahai kawan.

Anonymous said...

I was thinking of posting an Eid entry of the same kind of reminders, but you beat me to this Nurelhuda.
But you have said it so much, much, MUCH better. THANK YOU.

Suriya said...

Salam Semua, Saya doakan all of you have a good Eid and have become better people .Pycno do write your eid entry ..I want to read it..as a tazkirah...