Monday, November 06, 2006

Memperlekehkan secara menyeluruh versus menghormati manusia




Memperlekehkan secara menyeluruh versus menghormati manusia (Invalidation versus respect )


“Semua lelaki tak guna!” Eja menengking selepas dia di tipu oleh seorang jejaka yang akhirnya telah menipunya dan mengambil semua duitnya serta mencabul kehormatannya. Betul atau tidak penyata yang di buat oleh Eja? Adakah benar semua lelaki itu tak guna? Adakah benar orang Melayu semua pemalas? Adakah benar semua orang putih tak bermoral? Adalah benar semua ahli politik rasuah?

Maka bila kita membuat suatu penyata yang memberi sebuah deskripsi yang menyeluruh terhadap semua anggota golongan yang disebut , itu dinamakan penyatai yang memperlekehkan seluruh kumpulan itu..


Melihat kembali kepada penyata yang dibuat oleh Eja, apa implikasi penyata ini untuk Eja? Apa pula untuk lelaki yang bermuamalah dengan Eja kelak? Bagaimana sikap Eja terhadap lelaki dan apa yang akan berlaku pada tingkah laku Eja dan seterusnya hubungan Eja dengan mana-mana lelaki?


Sebenarnya memperlekehkan secara menyeluruh mempunyai kesan yang besar kepada sikap yang akan di ambil oleh individu yang berpandangan demikian. Sikapnya adalah sikap prejudis dan prasangka terhadap golongan yang diperlekehkan. Sikap prejudis ini akan menghalang individu yang mengamalkanya dari membuat pertimbangan yang waras dan adil. Ia juga membawa pengamalnya kedalam suatu keadaan dengan menganggapkan dirinya dalam kelompok yang benar dan betul serta memandang serong orang lain dan kaum lain.


Sikap sebaliknya adalah menghormati manusia walau dari golongan mana sekalipun , bersangka baik dan menghormati orang lain dengan pendirian mereka masing-masing. Memang sukar bagi seorang untuk cuba memahami orang lain, apatah lagi jika ada perbezaan perspektif dan penglaman. Namun demikian seorang yang bersikap terbuka dan enggan meletakkan label kepada sesuatu golongan atau kumpulan akan dapati sikap terbukanya mendapat sambutan dari berbagai golongan. Mungkin orang demikian akan dapati dirinya menjadi orang tengah dalam perbalahan atau rundingan antara berbagai golongan.


Satu lagi aspek memperlekehkan secara menyeluruh adalah bila kita tidak dapat nampak sebarang kebaikkan dalam orang yang kita benci. Sebenarnya semua manusia ada baik dan ada buruk , ada salah dan ada betul. Seorang yang adil akan dapat lihat kebaikkan walaupun kebaikkan itu berada dalam orang yang dia benci dan akan dapat lihat keburukkan walaupun keburukkan itu berada dalam orang yang disayangi.Sikap adil ini dituntut dalam Islam. Banyak ayat-ayat Quran yang mengecam orang yang tidak berlaku adil. Antaranya seperti dibawah ini:


Dan barangsiapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (QS. 4:30)


Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapak dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan. (QS. 4:135)


Hati-hatilah kita bila dapat berita atau khabar dari orang tentang orang yang sama ada kita sayang atau kita benci. Takut kita akan terlalu mudah percaya orang yang kita sayang dan terlalu mudah tidak percaya orang yang kita benci. Disebaliknya amalkanlah sikap menghormati manusia, kawan baikpun lawan dan dengan menghormati mereka, berlaku adillah terhadap meraka dengan menegur secara baik apa yang salah dan dengan menerima dengan baik apa yang betul

Dr Suriyakhatun Osman (AJK Wanita JIM Pusat)

certified professional coach

bahagian satu

Siri 8 bingkai negatif yang perlu dianjakkan

http://holisticleaders.com


No comments: